KUALA LUMPUR 13 Mac – Meskipun kali pertama memikul peranan sebagai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya membawa impak dengan membangkitkan pelbagai isu yang membelenggu fikiran rakyat dalam sidang Dewan Rakyat.
Ketidakhadiran hampir kesemua menteri kanan Pakatan Harapan (PH) tidak mematahkan semangat beliau mengulas isu penghinaan Nabi Muhammad dan agama, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta nasib kumpulan petani dan nelayan.
Beberapa kandungan ucapannya membuatkan ramai penyokong kerajaan ‘panas’ dengan berusaha gigih untuk mengganggu ucapan Ismail Sabri yang berjaya mendedahkan satu persatu kepincangan PH.
Ketua Pembangkang malah berjaya menimbulkan persoalan adakah Raja-Raja Melayu tidak lagi dihormati apabila Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim didakwa bukan wakil rakyat ketika membangkitkan sesuatu isu.
Nasib kakitangan awam juga menjadi perhatian beliau berikutan laporan berlakunya pengurangan kakitangan kerajaan atas alasan mahu mengurangkan beban kewangan kerajaan.
“Adakah satu peratus kakitangan kerajaan yang akan dihentikan merupakan tindakan membalas dendam kerajaan terhadap mereka yang dianggap masih setia kepada Barisan Nasional (BN).
“Kalau ini dilakukan bermakna apa sahaja janji PH untuk memberikan kebebasan bersuara dan memilih hanya janji semata-mata,” katanya semasa ucapan Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Ahli Parlimen Bera itu turut mempertikaikan mengapa bantuan untuk nelayan dan petani dikurangkan, bantuan untuk veteran tentera dimansuhkan serta diskaun pembayaran Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditarik balik.
“Elaun sara hidup kepada golongan nelayan telah diturunkan kepada RM200 dimana kerajaan BN sebelum ini memberikan insentif sebanyak RM300 untuk membantu golongan ini berdepan dengan musim tengkujuh.
“Dengan kenaikan kos sara hidup hari ini, sepatutnya kerajaan tidak mengurangkan malah menambah jumlah bantuan yang diberi dari zaman BN lagi,” katanya.
Ismail Sabri menyentuh komitmen kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara termasuk kerugian dialami Khazanah Nasional, kejatuhan nilai mata wang dan pasaran saham.











