RAWANG – Tiga perompak yang melarikan wang tunai bernilai RM105,000 dari sebuah van keselamatan di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini kelmarin dilaporkan tidak memiliki sebarang senjata.
Selain kenderaan, dua pekerja yang berada di dalam van keselamatan itu turut dilarikan oleh ketiga-tiga suspek yang memakai topi keledar bertutup penuh.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8 malam yang memaklumkan terdapat sebuah van keselamatan disamun oleh tiga lelaki tempatan di stesen minyak itu.
“Kenderaan dan dua pekerja syarikat kawalan keselamatan itu kemudian dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Ketiga-tiga suspek meninggalkan van tersebut di tepi lebuh raya. Mereka melarikan diri bersama sejumlah wang yang dianggarkan berjumlah RM105,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut Samsor, baki wang di dalam kenderaan itu tidak sempat dilarikan.
Jelasnya, susulan kejadian itu, pihaknya menahan enam pekerja syarikat keselamatan tersebut yang berusia 24 hingga 59 tahun.
Kesemua mereka ditahan reman selama enam hari sehingga 18 Mac ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











