KUALA LUMPUR 4 MAC – PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 7.3 peratus atau hampir 37,400 kenderaan dalam tempoh dua bulan pertama 2019 berbanding 34,800 kenderaan yang dijual pada tempoh yang sama sebelumnya.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, peningkatan prestasi jualan adalah disebabkan permintaan yang tinggi untuk hampir kesemua modelnya.
Katanya, dalam tempoh dua bulan pertama 2019, Perodua menjual sekitar 15,000 buah Myvi; 10,100 buah Axia; 5,900 buah Bezza; 3,600 buah Aruz dan 2,700 buah Alza.
Beliau berkata, dari segi pengeluaran sebanyak 36,500 buah kenderaan telah dikeluarkan hampir 6.2 peratus lebih daripada 34,375 buah yang dikeluarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
“Peningkatan prestasi jualan adalah hasil daripada usaha kami untuk menambah baik masa penghantaran. Sementara menunggu laporan bahagian pasaran daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami menganggarkan bahawa bahagian pasaran kami setakat tahun ini adalah 41 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Zahari berkata, kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk terbaharunya, Perodua Aruz, terus meraih pesanan yang memberangsangkan dengan lebih daripada 13,000 tempahan diterima sejak awal Januari.
Katanya, Perodua Aruz ditawarkan dalam dua varian iaitu X dan AV dan pada masa ini, kira-kira 85 peratus daripada tempahan adalah bagi varian AV.
“Kami telah menyelaraskan operasi pengeluaran dalam usaha mengurangkan masa menunggu untuk Aruz. Ini akan diteruskan juga pada bulan Mac.
“Kami amat berterima kasih di atas sokongan dan kesabaran anda dan kami berharap agar kami dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anda untuk masa yang akan datang,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan Perodua kini mengadakan siri jelajah Aruz On Tour di seluruh negara, yang telah bermula pada 13 Februari lalu di Selangor dan seterusnya ke Johor Bahru, Kota Bharu dan berakhir di Kuching pada 8 hingga 10 Mac di pusat membeli-belah The Spring.
“Kami amat mengalu-alukan orang ramai yang berada di Kuching untuk menyertai Aruz On Tour dan melihat dengan lebih dekat SUV terbaharu Perodua serta memandu uji kenderaan tersebut,” katanya.











