PELBAGAI usaha, bakti dan keringat dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj demi mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada 8 Februari 1903 bagi manfaat dakwah, kebajikan, pendidikan serta kerjasama saudara baharu.
Mengenang detik bersejarah itu, Perkim Kebangsaan, baru-baru ini menganjurkan Majlis Sambutan Ulang Tahun Perkim ke-59 dan Sambutan Tahun Baru Cina 2019 bertempat di Surau Perkim, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur.
Majlis dihadiri seramai 300 peserta yang terdiri daripada ahli Perkim bahagian seluruh negara, saudara Muslim berketurunan Cina, India, Bidayuh, Iban, Kadazan serta warganegara Filipina, Indonesia dan Thailand.
Berucap merasmikan majlis, Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, ahli Perkim perlu berusaha merealisasikan harapan Tunku bagi menjadikan Perkim sebagai penggerak dakwah terunggul untuk memberi sokongan kepada institusi Islam di negara ini dan antarabangsa umumnya.
“Kita semua haruslah mengambil kesempatan untuk mengenang jasa tokoh terdahulu yang memainkan peranan penting dan jasa mereka kepada Perkim dalam menyejahterakan masyarakat di Malaysia.
“Kalau pertubuhan ini telah diilhamkan oleh beliau, ia mesti mempunyai tapak kukuh dan pangkalan yang menjadi lambang perjalanan dakwah dalam negara berbilang bangsa,” katanya.
Yang turut hadir, Naib Yang Dipertua Perkim, Datuk Dr. Mustapha Ma dan Datuk Haji Mohd. Nakhaie Ahmad; Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Datuk Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Datuk Paduka Raja Datuk Wan Mahmood Pa’wan Teh; Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Tunku Mukminah Tunku Mohd. Jiwa dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zahed Saidin.
Mengimbau sejarah penubuhan Perkim, Mohd. Yusof berkata, pejabat Perkim pertama terletak di rumah Tunku sendiri iaitu di Jalan Tunku, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Jalan Batu Road (Bangunan MARA), Balai Islam Sentul dan terakhir di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh sehingga kini.
“Tanggal 8 Februari 1903 merupakan hari sejarah buat Perkim kerana mengabadikan tarikh tersebut sempena kelahiran Tunku sebagai Hari Perkim yang diterima secara rasmi oleh Ahli Majlis Kebangsaan Perkim.
“Tunku juga tercatat sebagai ‘Bapa Kemerdekaan’ dan juga ‘Bapa Perkim’ yang diasaskan pada 19 Ogos 1960, tiga tahun selepas kemerdekaan negara Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Yusof berkata, pihaknya merancang untuk mempertingkatkan dan menaik taraf Surau Perkim dengan kerjasama MAIWP sebagai tempat beribadah dan pusat aktiviti keagamaan yang menjadi lambang sejarah dakwah negara.
“Kita juga ingin menjadikan surau tersebut sebagai satu tarikan kepada orang ramai yang menggunakan laluan tersebut dan berasa nikmat keindahan ketika melaksanakan ibadah ataupun mengadakan qiyamullail,” ujarnya.
BUKTI KECINTAAN
Bagi menanamkan semangat kecintaan kepada organisasi badan dakwah negara, Perkim akan mengatur persiapan bagi sambutan Jubli Intan ke-60 tahun pada 2020.
Menurut Pengerusi Surau Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa, majlis Jubli Intan yang bakal diadakan itu merupakan acara besar Perkim selama 60 tahun bermula dari 1960 hingga 2020 dalam gelanggang dakwah, kebajikan, pendidikan dan kerjasama dengan semua pihak dalam usaha menuju reda Allah serta Rahmatan Lil ‘Alamin.
Sambutan tersebut dirasakan penting sebagai wadah kepada seluruh warga Perkim dalam pelbagai era dari dahulu sehingga sekarang untuk bersama-sama menghayati falsafah perjuangan Perkim sekali gus memartabatkan syiar Islam kepada manusia seluruhnya.
Mohd. Yusof turut menyampaikan sumbangan khas Tabung Amanah Tunku kepada Hasbullah sambil disaksikan oleh Imam Surau Perkim, Ahmad Muhammad.
Turut diadakan Majlis Bacaan Surah Yasin dan tahlil dan solat Zohor berjemaah. Majlis berakhir dengan jamuan makan tengah hari dan acara menggaul ‘yee sang’ serta pertunjukan Mi Tarik bagi meraikan Tahun Baru Cina.











