Perkembangan siri original HBO Asia - Utusan Malaysia

Perkembangan siri original HBO Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM platform penstriman digital yang menyajikan pelbagai program menarik menjadi kegilaan khalayak, rangkaian televisyen satelit popular, HBO terlebih dahulu mencuri perhatian penonton menerusi siri original mereka.

Sex And The City, The Sopranos, Six Feet Under dan True Blood antara siri original terbitan HBO yang tidak hanya mencetuskan fenomena, malah turut ditonton pelanggan rangkaian tersebut di seluruh dunia.

Terbaharu, drama adaptasi novel, Game Of Thrones yang diterbitkan pada tahun 2011 turut meninggalkan status sukses pada katalog penerbitan siri original HBO dengan menjadi naskhah paling ditunggu-tunggu penggemarnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Melihat kejayaan yang diraih oleh puluhan siri original mereka, HBO kemudiannya melebarkan sayap ke benua Asia pada tahun 2013 menerusi siri original Asia pertama iaitu Serangoon Road.

Atas karya sulung tersebut, HBO Asia terus menerbitkan beberapa siri original lain seperti Grace (2014) dan Halfworlds (2015).

Kualiti

Melihat pada sambutan yang diterima, Naib Presiden Kanan HBO Asia Original Productions, Jessica Kam berkata, pihaknya selalu mementingkan kualiti dalam sesebuah naskhah sebelum divisualkan untuk tontonan umum.

“Apabila bercakap mengenai siri original, audiens masa kini mempunyai banyak pilihan untuk menonton rancangan kegemaran mereka. Saban hari, pelbagai siri baharu diperkenalkan syarikat-syarikat televisyen.

“Selari dengan kebanjiran program baharu tersebut, HBO Asia mengambil pendekatan untuk menerbitkan lebih banyak siri original yang bukan sahaja bersifat asli, tetapi tinggi kualitinya,” ujar Jessica yang ditemui pada sidang akhbar khas HBO Asia yang berlangsung di Hong Kong baru-baru ini.

Menurut Jessica, formula tersebut ingin terus diguna pakai supaya program-program yang diterbitkan kelak dapat memenuhi selera penonton.

“Apabila menerbitkan program berkualiti, penonton pasti akan menyukainya. Kami ambil contoh Game Of Thrones yang mempunyai jutaan peminat dari seluruh dunia.

“Siri ini begitu sukses sehingga orang ramai sanggup melanggan HBO semata-mata mahu mengikuti perkembangan jalan ceritanya.

“Jika menerbitkan cerita yang bagus, kami tidak perlu ‘memasarkannya’ kerana penonton akan datang sendiri mencarinya,” kata Jessica lagi.

Tambahnya, bagi menarik perhatian penonton, khususnya golongan muda, HBO Asia berusaha untuk menerbitkan siri yang berlainan genre.

“Disebabkan hal itu, beberapa siri original yang kami umumkan pada majlis ini berbeza dari segi genre dan persembahan cerita.

“Antaranya seperti The Teenage Psychic, sebuah siri bertemakan sains fiksyen yang mungkin sesuai untuk remaja. Selain itu, kami turut mengumumkan siri Food Lore yang mengetengahkan antologi cerita berbeza mengenai makanan.

“Biarpun agak berisiko tinggi mengetengahkan genre berbeza, tetapi saya percaya siri-siri baharu ini dapat diterima oleh penonton HBO Asia,” katanya lagi.

Tsunami

Bagi pengarah penyelaras siri Food Lore, Eric Khoo, kekerapan rangkaian televisyen berbayar menerbitkan siri original dilihat mampu menenggelamkan karya-karya filem di pawagam.

“Sejujurnya, karya-karya original terbitan rangkaian televisyen sejak kebelakangan ini berjaya ‘memukul’ industri hiburan seperti tsunami.

“Sehinggakan, penonton semakin malas untuk pergi ke panggung wayang dan menonton filem-filem baharu.

“Hal ini kerana, televisyen mempunyai kuasa yang sangat besar untuk menarik penonton dengan pelbagai program,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai program kendaliannya, Food Lore, Eric menjelaskan, program berkenaan merupakan sebuah siri original yang memaparkan kisah-kisah berkaitan makanan daripada beberapa negara di Asia.

“Seperti Folklore yang disiarkan tahun lalu, Food Lore juga mengetengahkan konsep serupa. Cuma tiada kisah mistik yang dipaparkan kali ini.

“Dalam Food Lore, setiap pengarah dari negara-negara seperti Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand memaparkan sebuah kisah yang berkait rapat dengan makanan.

“Saya yakin, rancangan ini dapat menarik perhatian khalayak memandangkan bidang kulinari merupakan perkara yang paling penting dalam sesebuah budaya,” katanya.

Selain The Teenage Psychic yang telah memasuki musim kedua dan Food Lore, HBO Asia turut mengumumkan siri original bertemakan kemanusiaan berjudul The World Between Us.

Siri yang dibintangi pelakon Taiwan, James Wen tersebut memaparkan kisah seorang bekas wartawan bernama Liu Chao-Kuo yang kehilangan anak lelaki dalam kejadian tembakan rambang beramai-ramai.

Ironi, jalan cerita The World Between Us boleh dikatakan mirip dengan kejadian tembakan pengganas yang melibat umat Islam di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand baru-baru ini.

Ditanya mengenai persamaan tersebut, James berkata, siri arahan Lin Chun-Yang itu mampu memberi impak yang berbeza kepada penonton dari seluruh dunia.

“Saya lihat tragedi tersebut sangat relevan dengan apa yang ingin dipaparkan dalam siri The World Between Us.

“Kisah ini menjadikan kita semua berjaga-jaga dan lebih menyayangi orang sekeliling,” katanya.

Dari perspektif seorang pelakon, James menyifatkan The World Between Us sebagai sebuah naskhah yang bagus.

“Ketika menerima skrip siri ini, saya tidak boleh berhenti membaca kerana jalan ceritanya sangat menarik.

“Bekerja dengan HBO Asia bagi siri original ini juga berbeza jika mahu dibandingkan dengan produksi lain.

“Saya bukan sahaja dapat berkolaborasi dengan kru bertaraf antarabangsa, malah naskhah yang diketengahkan juga dapat ditonton oleh semua pelanggan HBO,” katanya menutup bicara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini