JOHOR BAHRU 24 Mac – Kerajaan negeri disarankan untuk memperkemas prosedur serta garis panduan sedia ada berhubung pengurusan kes kecemasan atau krisis alam sekitar, lebih lagi selepas tragedi pencemaran toksik Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian yang bermula pada 7 Mac lalu memberi pengajaran yang sangat besar kepada kerajaan negeri dan seluruh rakyat negeri ini.
“Saya yakin, dengan adanya garis panduan serta prosedur lebih kemas, jelas dan tegas, pastinya kelewatan tindakan seperti itu tidak akan berulang selain membolehkan kerajaan negeri khususnya Menteri Besar bertindak pantas serta cekap.
“Tidak kiralah pada waktu kejadian tersebut Menteri Besar berada di Jerman atau Batam atau di mana-mana sahaja pelosok dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bekas Menteri Besar itu berkata, kelembapan serta kegagalan kerajaan negeri untuk bertindak tangkas dan segera dalam isu pencemaran itu menjadi antara penyumbang yang memburukkan keadaan di Pasir Gudang tempoh hari.
Justeru, katanya, adalah wajar untuk kerajaan negeri memperkemas prosedur serta garis panduan sedia ada berhubung kes kecemasan atau krisis alam sekitar supaya ia dapat menjadi rujukan kepada semua pihak. – UTUSAN ONLINE











