KUALA LUMPUR 31 Mac – Peraturan e-hailing akan dipinda untuk membolehkan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan lesen pemandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Loke berkata, kementeriannya telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat e-hailing dan akan mempertimbangkan perkara itu.
“Mesej saya kepada komuniti OKU ialah mereka usah bimbang, kami sokong hak mereka untuk menjadi pemandu e-hailing agar mereka boleh mengusahakan mata pencarian sendiri.
“Tidak timbul isu tidak membenarkan mereka tetapi peraturan sedia ada perlu dipinda,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Diskaun Xtra20 Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter hari ini.
Beliau diminta mengulas kekeliruan sesetengah syarikat perkhidmatan e-hailing mengenai pendaftaran lesen PSV untuk OKU.
Sementara itu, Loke berkata mulai esok, penumpang KTM Komuter warga Malaysia akan menikmati diskaun tambang 20 peratus di lima jajaran iaitu Padang Rengas-Butterworth, Butterworth-Padang Besar, Port Klang-Tanjung Malim, Seremban-Batu Caves dan Sungai Gadut-Tampin.
“Insentif terbaharu yang dikenali sebagai Xtra20 itu dijangka mampu merangsang peningkatan penumpang KTM Komuter pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.
“Kementerian menyasarkan peningkatan sebanyak 20 peratus tahun ini iaitu kira-kira 90,000 penumpang sehari kepada 108,000 penumpang dan seterusnya tambahan 20 peratus pada tahun hadapan bagi mencapai sasaran 130,000 penumpang sehari dengan konsisten.
“Bagi warganegara Malaysia yang menggunakan sistem transaksi tanpa wang di stesen-stesen komuter, mereka sudahpun menikmati diskaun 20 peratus dan akan mendapat tambahan 20 peratus mulai esok, jadi mereka mendapat diskaun sehingga 40 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata mulai Mei atau Jun depan, waktu ketibaan tren KTM Komuter akan dipaparkan secara langsung melalui platform digital data terbuka dan aplikasi telefon bimbit KTMB yang hampir siap dibina. – BERNAMA











