KUALA LUMPUR 10 Mac – Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam perarakan Women’s March di ibu kota, semalam.
Presidennya, Dr. Mohd. Parid Sheikh Ahmad dengan tegas menolak segala usaha mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.
Beliau juga turut menyatakan sokongan padu kepada pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai yang diamalkan di negara barat iaitu LGBT dan perkahwinan sesama jenis.
“Mana-mana rakyat yang terjebak dalam golongan itu dan ingin berubah segera mendapatkan rawatan pemulihan daripada pakar atau para profesional.
“Pihak yang berkaitan hendaklah bersama-sama membantu usaha pemulihan dan rawatan golongan tersebut secara bersepadu dan berkesan, tanpa stigma dan tanpa diskriminasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Parid menambah, pihaknya kecewa dengan tuntutan pengiktirafan golongan berkenaan melalui laungan slogan ‘Hidup LGBT’ sambil mengangkat bendera pelangi dan simbol LGBT dalam perarakan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau juga mengingatkan rakyat Malaysia berhubung larangan tegas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof bahawa golongan itu hendaklah tidak mencabar sistem nilai yang dipegang oleh negara serta tidak membuat kenyataan umum dan berbangga dengannya.
Semalam, sekumpulan penyokong LGBT berarak sempena Women’s March di ibu kota sambil melaungkan slogan dan mengibarkan bendera pelangi sebagai tanda sokongan terhadap golongan itu. -UTUSAN ONLINE











