KUALA LUMPUR 25 Mac – Kandungan perbahasan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) dengan menyentuh konflik dalaman Pakatan Harapan (PH) melibatkan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) menimbulkan rasa tidak senang penyokong kerajaan khususnya daripada PKR.
Ketika membahaskan usul menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Abdul Rahman berkata, ramai pihak ketika ini tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan PH.
Beliau malah menyatakan rasa tidak puas hati itu turut diluahkan oleh Nurul Izzah, berdasarkan pelbagai kenyataannya yang tular dalam laman media sosial kebelakangan ini.
“Kita tengok sekarang ada ketidakpuasan hati dalam PH sendiri. Yang Berhormat Permatang Pauh, saya tidak tahu sama ada ditularkan itu benar atau tidak.
“Dia kata dia tidak akan bertanding lagi kerana tidak berpuas hati dengan apa yang dikatakan tidak dapat ditunaikan.
“Beliau meneliti perkara itu maka beliau tidak sanggup berdepan dengan masyarakat,” katanya.
Kata-kata Abdul Rahman menyebabkan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) bangun dan mencelah meminta supaya tidak menyebut tentang Nurul Izzah.
Bagaimanapun Abdul Rahman memberitahu beliau hanya membangkitkan perkara yang ditularkan dan Nurul Izzah sendiri boleh menjawab perkara tersebut. – UTUSAN ONLINE











