PORT DICKSON – Seorang penunggang motosikal maut selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm di simpang empat lampu isyarat Sua Betong dekat sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira pukul 2.15 pagi itu ialah penunggang motosikal jenis SYM, Muhammad Hasnizam Mohd. Rodzi, 19.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Mitsubishi Storm yang bergerak dari arah Seremban menghala ke Port Dickson membelok ke kanan apabila tiba di lokasi kejadian.
“Sebuah motosikal yang datang dari arah Telok Kemang melanggar bahagian tepi hadapan sebelah kiri kenderaan pacuan empat roda itu menyebabkan penunggangnya terpelanting ke atas cermin hadapan sebelum jatuh di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Aidi Sham berkata, kemalangan itu menyebabkan Muhammad Hasnizam mengalami pelbagai kecederaan pada bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menjalani bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pemandu Mitsubishi Storm berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – K! ONLINE










