Pensyarah kanan berdepan 33 pertuduhan salah guna kuasa, tuntutan palsu - Utusan Malaysia

Pensyarah kanan berdepan 33 pertuduhan salah guna kuasa, tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seorang pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 33 pertuduhan salah guna kuasa dan tuntutan palsu berjumlah RM1.48 juta yang didakwa dilakukannya sepanjang 2014 hingga 2015.

Tertuduh, Prof. Madya Dr. Hartini Ahmad, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Hartini, pensyarah universiti gred DS54 didakwa melakukan perbuatan tersebut ketika dia memegang jawatan Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM di UUM Sintok dalam daerah Kubang Pasu antara Januari 2014 hingga Jun 2015.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia antara lain didakwa membuat pengesahan telah menerima sepenuhnya pembekalan perkhidmatan latihan oleh syarikat penyedia perkhidmatan bagi tujuan pembayaran sedangkan perkhidmatan tersebut sebenarnya tidak diterima.

Tertuduh juga dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi seorang saudaranya dengan memperakui borang pesanan/perkhidmatan bagi membekal dan menyediakan latihan untuk penuntut universiti.

Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu/suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM65,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 29 April depan.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang kontraktor, Nazrul Idham Abu Nasir, 42, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM492,000 juga membabitkan pembekalan pakej latihan Pusat Kecemerlangan Industri di UUM sedangkan perkhidmatan tersebut tidak dibekalkan.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya di restoran di hadapan UUM antara 30 Januari 2014 hingga 11 Jun 2015.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 29 April depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini