JERANTUT 13 Mac – Dua pensyarah Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) di sini mencipta mesin khas mengupas dan mencuci kulit kunyit untuk kegunaan masyarakat negara ini.
Dua pensyarah kolej berkenaan, Norsuzilawate Zulkapli, 37, dan Osman Zolkifli, 37, memanfaatkan peluang serta inovasi yang diterapkan oleh KKJ dengan mencipta produk itu untuk kegunaan umum.
Norsuzilawate berkata, idea untuk menghasilkan produk berkenaan timbul berikutan dilema suri rumah atau pengusaha kedai yang mengambil masa lama mengupas kunyit dan jari mereka menjadi kuning.
“Lumrahnya setiap kali mengupas kulit kunyit, suri rumah dan pengusaha kedai makan mengambil masa lama malah selepas itu jari mereka menjadi kuning dan sukar dihilangkan walaupun dibasuh.
“Dari situ timbul idea untuk mencipta produk ini bagi memudahkan mereka,” katanya selepas pertandingan Kemahiran Penghasilan Produk Makanan Institut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Pahang di KKJ semalam.
Sementara itu, Osman berkata, dengan terciptanya mesin itu, proses mengupas kulit kunyit dalam kuantiti banyak menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa jika dibandingkan menggunakan kaedah biasa.
“Mesin mudah alih dan mesra pengguna ini membersihkan kulit kunyit sepenuhnya dengan cepat sekitar 15 saat bagi 300 gram kunyit berbanding secara biasa mengambil masa kira-kira lima minit,” katanya.
Menurutnya, mesin itu boleh dimiliki suri rumah, peniaga kedai makan serta usahawan industri kecil sederhana yang banyak menggunakan kunyit dalam masakan atau produk mereka.
“Mereka menggunakan mesin pengisar biasa dan diubah suai bahagian matanya dengan digantikan dengan berus.
“Mesin yang mesra pengguna ini boleh juga digunakan untuk mengupas dan mencuci lengkuas serta halia. Mesin mengupas kunyit ini akan dipatenkan,” katanya.











