Penjualan aset Hong Kong: Tender terbuka beri nilai terbaik - Guan Eng - Utusan Malaysia

Penjualan aset Hong Kong: Tender terbuka beri nilai terbaik – Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Proses tender terbuka untuk penjualan tanah dan bangunan konsulat di Hong Kong sedang berjalan dan diyakini akan dapat memberikan hasil yang bersesuaian dengan nilai sebenar hartanah itu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keputusan kabinet untuk meneruskan penjualan bangunan itu secara tender terbuka dan bukan rundingan terus itu juga diharapkan dapat memberi penjimatan terhadap perbelanjaan kewangan kerajaan. 

“Kementerian Kewangan dengan kelulusan kabinet memutuskan supaya penjualan tanah dan bangunan ini tidak dilakukan secara rundingan terus sebaliknya secara tender terbuka. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Proses penjualan dan pelupusan hartanah tersebut akan dilakukan dengan cara tersebut untuk memastikan kerajaan mendapat nilai terbaik daripada penjualan hartanah itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, kementeriannya menerima beberapa tawaran pada nilai yang lebih tinggi mencecah RM1.6 bilion selepas perubahan kerajaan.

“Kerajaan terdahulu memutuskan untuk menjual aset itu secara rundingan terus kepada sebuah syarikat dengan harga RM1.1 bilion dengan surat tawaran dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sebelum 9 Mei tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng meminta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan sebab beliau bersetuju dengan penjualan tanah dan bangunan tersebut secara rundingan terus dengan harga yang begitu rendah sebanyak RM1.1 bilion berbanding tawaran lain setinggi RM1.6 bilion.

“Adalah dikesali apabila Najib cuba mengelak daripada menjawab soalan mengapa pentadbiran beliau memutuskan untuk menjual tanah dan bangunan tersebut secara rundingan terus dan bukan secara tender terbuka. 

“Beliau sebaliknya cuba mengalihkan perhatian dengan bertanya sama ada projek terowong bawah dasar laut di Pulau Pinang juga dijalankan secara tender terbuka,” katanya.

Untuk itu, Guan Eng menegaskan, projek terowong bawah dasar laut di Pulau Pinang dijalankan secara tender terbuka selaras dengan dasar kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan. 

Akhbar semalam melaporkan keputusan menjual Bangunan Malaysia setinggi 28 tingkat di kawasan Wan Chai, Hong Kong itu dibuat secara rundingan terus pada harga RM1.1 bilion ketika pentadbiran kerajaan lalu.

Guan Eng dipetik berkata, penjualan aset yang juga Bangunan Pejabat Konsulat Malaysia itu antara lain kerana kerajaan lalu tidak dapat menampung kos baik pulih sebanyak RM300 juta. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini