KOTA BHARU – Gara-gara membakar sebuah rumah, seorang pengutip besi dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.
Selain itu, tertuduh, Mohd. Roslan Pawi, 35, turut dikenakan hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan menceroboh rumah terbabit.
Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan tersebut dan memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula tarikh lelaki berkenaan ditangkap pada 28 September 2018.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menceroboh rumah milik Ghazali Ismail, 68, di Peringat di sini, pada 12.30 tengah malam, 28 September 2018.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan pemetik api membakar rumah milik mangsa.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian Ghazali yang berada di sebuah lagi rumah di Kampung Bechah Keranji, Melor, diberitahu jirannya rumah mangsa di Peringat, diceroboh seorang lelaki sebelum dia bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di tempat kejadian, Ghazali melihat kelibat seorang lelaki melarikan diri ke dalam hutan di belakang rumah sebelum dia menghubungi bomba untuk memadamkan kebakaran.
Lelaki itu, bagaimanapun berjaya ditangkap berhampiran rumah terbabit pada hari sama.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dengan kesalahannya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Noorazlinawati Mohd Arshad memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama. – Bernama











