SAUDARA PENGARANG,
KEJAYAAN Tentera Demokratik Syria (SDF) yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS)menghapuskan saki-baki kumpulan pengganas Daesh di perkampungan Baghouz baru-baru ini tidak bermakna dunia kini aman dan bebas sepenuhnya daripada ancaman dan pengaruh keganasan.
Tidak dapat dinafikan, selama bertahun-tahun Daesh telah menjadi salah satu kumpulan pengganas paling berbahaya sekali dalam sejarah moden dunia masa kini.
Namun perlu diketahui juga, tentang pelbagai jenis individu dan kumpulan pengganas lain yang wujud di serata dunia pada ketika ini.
Sekiranya, masyarakat menganggap dengan kekalahan Daesh maka dunia kini bebas daripada pengaruh keganasan maka mereka telah melakukan satu kesilapan besar.
Daesh telah ditubuhkan ketika Perang Iraq sekitar 2003. Kumpulan itu dikatakan mempunyai kaitan dengan pengganas al-Qaeda yang berpangkalan di Afghanistan.
Matlamat utama penubuhan Daesh adalah untuk menubuhkan sebuah khalifah Islamiah di dalam kawasan majoriti berfahaman Sunni di Iraq dan kemudiannya ke Syria dan seluruh dunia.
Daesh telah melakukan pelbagai jenis keganasan bagi menjayakan matlamat kumpulan itu yang radikal.
Kumpulan berkenaan turut menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram bagi mempengaruhi orang ramai di serata dunia untuk menyertai perjuangan songsang mereka.
Individu yang berjaya dipengaruhi oleh mereka juga datang dari Malaysia. Apa yang lebih menyedihkan adalah kesan keganasan yang telah dilakukan oleh kumpulan itu.
Banyak negara telah dijadikan sasaran pengeboman oleh anggota Daesh dan individu yang bersimpati dengan kumpulan itu.
Antara bandar raya yang paling teruk menerima kesan keganasan Daesh adalah Istanbul, Turki apabila banyak serangan bom yang disasarkan terhadap orang awam berlaku pada 2015 dan 2016.
Akibat keganasan Daesh, khususnya di Syria dan Iraq, ramai penduduk di kedua-dua negara itu terpaksa berjalan kaki menyeberangi sempadan untuk melarikan diri ke Turki dan kemudiannya ke negara-negara Eropah bagi memulakan kehidupan baharu.
Dengan kekalahan Daesh, rakyat Syria dan Iraq sudah dapat menarik nafas lega. Bagaimanapun, kekalahan itu hanya melibatkan aspek kawalan terhadap bandar-bandar atau kawasan yang telah ditakluki oleh mereka selama ini.
Kita masih belum ketahui sama ada pengaruh Daesh di seluruh dunia sudah berjaya dihapuskan sepenuhnya ataupun tidak. Ini kerana masih terdapat individu dan kumpulan di serata dunia yang bersimpati dengan Daesh.
Oleh itu, adalah penting semua pihak tidak mengambil ringan perkara ini.
Pihak berkuasa di setiap negara perlu melakukan proses pemantauan ketat bagi memastikan pengaruh Daesh dapat dihapuskan sepenuhnya.
Semua pihak juga harus sedar bahawa keganasan ini tidak hanya dilakukan oleh Daesh dan kumpulan yang bersimpati dengannya sahaja.
Masih terdapat banyak kumpulan serta individu yang dipengaruhi fahaman radikal lain di serata dunia.
Baru-baru ini, seluruh dunia telah dikejutkan dengan serangan pengganas pelampau kulit putih di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand.
Tragedi berkenaan telah menyebabkan 50 orang termasuk seorang rakyat Malaysia terbunuh dan mencederakan puluhan orang awam termasuk kanak-kanak.
Serangan pengganas yang berlaku di New Zealand jelas menunjukkan kepada kita bahawa fahaman radikal bukan sahaja melibatkan Daesh.
Malah ia boleh datang dari pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang serta agama yang dianuti mereka.
Oleh yang demikian, adalah penting semua pihak khususnya masyarakat Barat yang sering menuding jari terhadap setiap insiden keganasan yang berlaku adalah berpunca daripada umat Islam untuk menerima kenyataan bahawa kegiatan keganasan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.
Sekiranya mereka dapat menerima kenyataan itu, maka amat mudahlah langkah diambil bagi menghalang segala ancaman yang dibawa oleh pengganas.
PENSYARAH USIM
Negeri Sembilan











