TANJUNG MALIM – Seorang pengawal keselamatan wanita di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) Behrang di sini parah selepas ditimpa siling akibat ribut yang melanda kawasan berkenaan lewat petang semalam.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Yussli Abd. Latif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 6.41 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.
“Tiba di lokasi, anggota mendapati kira-kira 20 pokok tumbang menghalang lalu lintas dan bumbung empat blok asrama termasuk asrama warden diterbangkan ribut.
“Seorang wanita yang juga pengawal keselamatan PSAS mengalami kecederaan parah di kelapa akibat terkena runtuhan siling berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Yussli, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Anggota kemudian memotong dan mengalihkan pokok-pokok yang tumbang sebelum menyerahkan kepada Unit Pembangunan dan Selenggaraan PSAS untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang turut melibatkan 12 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lapan petugas Majlis Daerah itu tamat sepenuhnya pada pukul 10.49 malam,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah APM, Zairil Anuar Zulmuji berkata, seramai 104 penuntut wanita yang merupakan penghuni asrama PSAS terpaksa dipindahkan susulan bencana ribut berkenaan.
“Kesemua penuntut wanita itu ditempatkan sementara di Pusat Islam PSAS selepas ribut berkenaan merosakkan tiga blok kediaman mereka iaitu blol V5, V6 dan V1.
“Keadaan setakat ini terkawal,” katanya. – K! ONLINE











