KUALA LUMPUR 6 Mac – Seorang pengarah syarikat makanan mampu menarik nafas lega apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan pecah amanah melibatkan jumlah kira-kira RM9,000, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin membuat keputusan itu terhadap Lam Ee Von, 38, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan kes keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Zainal Abidin dalam keputusannya berkata, transaksi yang dilakukan tertuduh adalah bertujuan untuk memudahkan urusan pembayaran kepada pembekal di mana mahkamah mendapati dalam perniagaan semua urusan perlu diselesaikan dengan segera.
“Selain itu pemindahan wang dari akaun Hong Leong kepada akaun tertuduh adalah bayaran pendahuluan untuk simpanan tunai (petty cash)
dan pembelian barangan harian termasuk keperluan runcit.
Mengikut pertuduhan, Ee Von didakwa atas pertuduhan sebagai pengarah syarikat melakukan pecah amanah ke atas wang syarikat dengan memindahkan wang sebanyak RM6,070.90 dan RM3,000 daripada akaun Hong Leong Bank ke dalam akaunnya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Syarikat Big E Harvest Sdn. Bhd. di Lot GF-08B dan 08C The Waterfront @ Desa Park City No 5, Persiaran Residen Desa Park City, pada 28 Disember 2016 dan 17 Mac 2017.
Pertuduhannya terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hanum Abdul Hadi manakala tertuduh diwakili peguam bela, K. Ragunath. – UTUSAN ONLINE











