KUALA LUMPUR 11 Mac – Seorang penganggur hari ini dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penghinaan terhadap agama Islam dalam media sosial.
Hukuman tersebut diputuskan oleh Hakim Hasbullah Adam selepas tertuduh, Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52, mengekalkan pengakuan bersalah yang dibuatnya pada Jumaat lalu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tertuduh ditambah lagi dua bulan sekiranya denda berkenaan gagal dibayar tertuduh.
Berita berkaitan:
Pemilik akaun Facebook atas nama `Yazid Kong’ didapati memulakan komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada pukul 8.21 malam, 28 Februari lalu.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun.
Pertuduhan dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal manakala Mohamad Yazid diwakili peguam bela, Muhammad Syafiq Salleh.
Hakim turut menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula pada tarikh tangkapan iaitu 5 Mac lalu. – UTUSAN ONLINE











