KUALA LUMPUR 26 Mac – Amalan penilaian keberkesanan lembaga pengarah di Malaysia semakin meningkat dengan pengiktirafan lebih 80 peratus daripada syarikat besar di Malaysia menjalankan penilaian lembaga pengarah dikendalikan secara luaran atau menyediakan pelan yang jelas untuk dilaksanakan pada masa akan datang.
KPMG Management & Risk Consulting Sdn. Bhd. dalam kenyataan hari ini berkata ini menunjukkan kepentingan syarikat tersebut untuk membina proses mentadbir bilik lembaga pengarah yang dapat membantu mereka memanfaatkan kepakaran dan potensi strategik anggota lembaga pengarah mereka.
Dalam laporan terbarunya bertajuk ‘Penilaian Lembaga Pengarah – Kekaguman Bersama atau Pemikiran Bernas?’, yang dikeluarkan hari ini, KPMG mengkaji pemikiran, pendekatan dan amalan yang dikaitkan dengan pelaksanaan penilaian lembaga pengarah di Malaysia.
Laporan itu menggunakan pendedahan daripada 581 syarikat tersenarai di Malaysia serta anekdot dan pandangan yang diraih daripada pasaran.
Kajian itu mendedahkan lembaga pengarah syarikat-syarikat besar (syarikat yang mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM2 bilion atau lebih) terdiri daripada majoritinya pengarah bebas dengan tujuan menggalakkan semak dan imbang yang lebih berkesan dalam lembaga pengarah, kata KPMG. -BERNAMA











