Penduduk risau kawasan perumahan dihuni warga asing - Utusan Malaysia

Penduduk risau kawasan perumahan dihuni warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Kira-kira 50 penduduk berkumpul secara aman di Dewan Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth di sini semalam bagi membantah penempatan warga-warga asing ke kawasan perumahan mereka oleh pihak majikan.

Mereka ialah penduduk Taman Teluk Molek, Teluk Air Tawar yang mengadu tidak selesa apabila kawasan perumahan itu dijadikan asrama pekerja oleh pihak tertentu.

Kawasan perumahan itu dianggarkan mempunyai kira-kira 200 buah rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penyelaras Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Mohd. Shamim Mohd. Nazri, 35, berkata, ramai penduduk yang menyuarakan kerisauan dan rasa tidak berpuas hati apabila mendapati semakin ramai pekerja asing tinggal di kejiranan tersebut.

“Saya difahamkan, terdapat kira-kira 450 orang yang terdiri daripada warga Myanmar, Vietnam dan Indonesia mendiami kira-kira 15 buah rumah.

“Ketika ini juga, didapati ada pihak tertentu sedang mengubahsuai banyak lagi rumah bagi menempatkan pekerja asing yang mungkin akan mencapai 1,200 orang,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Seorang penduduk, Norizlan Haris, 59, berkata, penduduk bimbang kehadiran ramai warga asing akan menimbulkan masalah sosial, bunyi bising dan suasana tidak aman seperti yang didakwa pernah berlaku di Taman Pelangi di sini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rajan Baliah, 49, berkata, dia menggesa pihak pengurusan kilang untuk memilih tempat lain yang lebih sesuai untuk dijadikan asrama pekerja.

“Kami mohon pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo agar melakukan sesuatu dan memberi perhatian dalam perkara begini.

“Sekiranya ia diselesaikan, penduduk dapat terus tinggal dalam keadaan yang lebih selesa,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini