PULAU PINANG 6 Mac – Perhimpunan kira-kira 22 penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Georgetown di sini bagi membantah arahan pengosongan unit masing-masing bertukar kecoh apabila pegawai bahagian perumahan kerajaan negeri bertindak mengunci rumah penyewa berkenaan.
Perhimpunan yang bermula secara aman kira-kira pukul 10 pagi bagi merayu kerajaan negeri memberi peluang kepada mereka untuk tinggal di rumah tersebut menjadi ‘panas’ selepas kehadiran pegawai kerajaan negeri berkaitan kira-kira pukul 10.30 pagi di PPR berkenaan.
Penyewa termasuk ahli keluarga yang berada di kawasan tempat letak kereta perumahan itu untuk berhimpun kemudian bertindak berdiri di hadapan rumah masing-masing bagi menghalang pegawai terbabit mengunci rumah mereka.
Difahamkan, lapan penyewa telah mendapat notis untuk mengosongkan rumah tersebut bermula hari ini namun masih enggan berpindah menyebabkan rumah mereka dikunci.
Empat penyewa pula dikatakan telah menyerahkan kunci secara sukarela manakala selebihnya masih berunding dengan kerajaan negeri.
Kesemua mereka diarah mengosongkan kediaman masing-masing berikutan hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.
Seorang penyewa, Nazrimah Jamal Abidin, 44, berkata, dia mempunyai lapan orang anak berusia antara empat dan 24 tahun dengan empat daripadanya masih bersekolah.
“Saya sedar suami merupakan warga asing, tetapi kami telah tinggal di sini sejak 14 tahun yang lalu dan pada ketika itu tidak ada masalah untuk kami menyewa di sini.
“Saya tidak bekerja dan suami hanya bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan harian, kami tak mampu cari rumah sewa lain,” katanya.











