MADRID 5 Mac – Pemain tengah Real Madrid, Casemiro menyatakan pendekatan yang digunakan Santiago Solari adalah hampir sama seperti Zinedine Zidane.
Solari mengambil alih tugasan di Santiago Bernabeu, Oktober lalu namun kini bergelut dengan prestasi semasa kelab selepas tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir.
“Tidak adil untuk menuding jari ke arah seorang jurulatih.
“(Jose) Mourinho, (Carlo) Ancelotti, Zidane, Rafa Benitez, masing-masing ada karakter tersendiri.
“Zidane ada hubungan baik dengan pemain, seperti rakan atau bapa dan anak.
“Solari sama sepertinya, dia cuba berlaku adil kepada semua orang,” katanya.
Madrid akan menerima kunjungan Ajax awal pagi ini dengan kelebihan agregat 2-1 bagi aksi kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.-AGENSI











