THE HAGUE, Belanda – Seorang pencipta Belanda sedang membangunkan satu bekas tadahan air kencing lembu bagi membantu mengurangkan emisi yang menyebabkan kerosakan alam sekitar.
Ujian sudah dilakukan di sebuah ladang ternakan di Belanda berhubung ciptaan itu yang mengumpul 15 hingga 20 liter air kencing daripada setiap seekor lembu, secara purata, dalam tempoh sehari.
“Kami sedang menyelesaikan masalah ini daripada puncanya,” kata pencipta dan ahli perniagaan projek ‘Tandas Lembu’, Henk Hanskamp kepada agensi berita AFP kelmarin.
“Seekor lembu tidak pernah bersih sepenuhnya, namun kamu mampu mengajarnya untuk ke tandas,” katanya.
Bekas tadahan air kencing itu ditempatkan di bahagian belakang lembu, dengan palung makanan diletakkan di hadapannya. Selepas selesai makan, satu lengan robotik akan merangsang saraf berdekatan ambing dan menyebabkan haiwan itu kencing.
Bekas-bekas tadahan kencing itu sedang diuji di sebuah ladang dekat pekan Doetinchem, timur Belanda dan tujuh daripada 58 ekor lembu sudah tahu menggunakannya tanpa perlu dirangsang.
“Kawasan kandang menjadi bersih dan tanah lebih kering. Tanah yang kurang lembab lebih baik untuk kesihatan tapak kaki lembu,” kata seorang ahli veterinar yang terlibat dalam ujian itu, Jan Velema yang dipetik sebagai berkata oleh akhbar tempatan, de Volkskrant.
Hanskamp mendakwa produk itu membantu mengurangkan hampir separuh daripada jumlah ammonia kencing lembu. Syarikatnya bercadang untuk memasarkan tandas itu menjelang tahun 2020. – AFP











