Pencemaran toksik: Jurufoto Kumpulan Utusan, pengamal media kelima terjejas - Utusan Malaysia

Pencemaran toksik: Jurufoto Kumpulan Utusan, pengamal media kelima terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG 17 Mac – Jurufoto Kumpulan Utusan, Nur Aisyah Mazalan, 31, menjadi pengamal media kelima yang terkesan akibat pencemaran toksik Sungai Kim Kim di sini.

Nur Aisyah kini mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan (Zon Bencana) Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru apabila dikejarkan ke hospital tersebut pagi ini.

“Semalam selepas pulang ke rumah saya muntah-muntah, sesak nafas dan batuk berterusan sejak 10 hari lalu, pada pagi ini saya ke hospital selepas tiada perubahan,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, sejurus sampai di hospital, dia diasingkan ke zon bencana dan doktor memberikan rawatan sebelum diminta untuk menjalani beberapa ujian antaranya pemeriksaan darah, X Ray, ambil gas oksigen dan masuk air.

Nur Aisyah berkata, buat masa ini keadaannya stabil dan kini menunggu keputusan daripada doktor.

Dia mula membuat liputan di kawasan kejadian pencemaran toksik Sungai Kim Kim sejak 7 Mac lalu dan itu merupakan rawatan awal kedua dijalaninya selepas berbuat demikin di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih beberapa hari lalu.

Sebelum ini, media melaporkan, wakil wartawan Astro Awani, Ernalisa Othman dan Ketua Biro TV3 Johor, Zahir Senapiah dilaporkan mengalami simptom loya, sesak nafas dan muntah dipercayai akibat terkesan pencemaran toksik Sungai Kim Kim pada 13 Mac lalu.

Wartawan Harian Metro, Mary Victoria Dass pula dilaporkan mengalami simptom sama dan turut mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Taman Mawar di sini pada dua hari lalu.

Semalam, jurukamera sambilan Media Prima Sdn. Bhd., Ismail Osman, 55, terpaksa mendapatkan rawatan di HSI selepas mengalami sesak nafas sebaik pulang daripada membuat liputan pencemaran toksik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini