KOTA BHARU 7 Mac – Pemuda UMNO, Pas dan MCA Kelantan hari ini menghantar memorandum kepada DAP bagi membantah keceluparan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang membuat kenyataan yang disifatkan berbau provokatif dan hasutan semalam.
Bagaimanapun memorandum tersebut tidak dapat diserahkan dan diletakkan di hadapan pintu sahaja kerana pejabat DAP negeri ini di Bunut Payung di sini berkunci dan tidak berpenghuni biarpun wakil daripada sayap tersebut telah menghubungi salah seorang pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu bagi memaklumkan hasrat tersebut.
Yang turut hadir, Ketua Pemuda Pas negeri, Ahmad Fadhli Shaari; Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohd. Noor dan Naib Ketua Pemuda MCA pusat, Chua Hock Kuan yang juga Pengerusi MCA negeri.
Ahmad Fadhli yang ditemui selepas itu berkata, pihaknya juga telah membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berhubung kenyataan tersebut.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, memorandum itu mendesak supaya bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada seluruh rakyat negara ini.
“Kami datang untuk menghantar memorandum mendesak Guan Eng supaya menarik balik kenyataannya yang menyebut berbau hasutan kepada rakyat malaysia tetapi pejabat DAP ini berkunci, ini sajakah taraf parti yang memerintah pejabat pun tiada orang dan saya kira sudah sampai masanya DAP dinyahkan daripada pentadbiran negara.
“Guan Eng bukan hanya perlu memohon maaf tetapi juga meletakkan jawatan kerana kenyataannya mencetuskan ketegangan kaum,” katanya.
Sementara itu, Noor Hariri berkata, walaupun Guan Eng menarik balik kenyatannya tetapi tangkap layar yang dibuat jelas menunjukkan niat pemimpin itu untuk mencetuskan ketegangan kaum.
Katanya, kerjasama Pas dan UMNO adalah pakatan politik yang sama sekali tidak memusuhi mana-mana pihak atau kaum lain.
“Perjuangan kami jelas untuk seluruh rakyat negara ini yang cintakan keamanan dan keharmonian.
“Apa yang Guan Eng lakukan hanya mahu mencetuskan ketegangan di antara orang Melayu dan Islam dengan masyarakat lain yang sama sekali bertentangan dengan perjuangan UMNO dan Pas,” katanya. – UTUSAN ONLINE











