Pemuda Amanah Selangor gesa PDRM siasat individu hina agama Islam - Utusan Malaysia

Pemuda Amanah Selangor gesa PDRM siasat individu hina agama Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 4 Mac – Biarpun belum reda kemarahan umat Islam terhadap isu penghinaan Nabi Muhammad, muncul pula seorang lagi lelaki yang didakwa mengulangi perbuatan sama menerusi satu akaun Twitter miliknya semalam.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi berkata, seorang pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama ‘Alvin Chow’ didakwa menaik status mencaci kesucian agama Islam dan menghina bangsa Melayu.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segera menyiasat sama ada perbuatan itu dicetuskan menerusi arahan tertentu bagi mencetuskan provokasi.

“Selain itu, tindakan segera perlu diambil dan dilaksanakan segera agar pelaku terlibat dihadapkan ke muka pengadilan.

“Tatkala kita belum reda dengan satu kes baru-baru ini, timbul satu lagi provokasi bagi menimbulkan kemarahan dan sekali gus ingin mengugat keharmonian tanah air,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.

Terdahulu, beliau bersama wakil Pemuda Amanah Selangor hadir membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama ‘Alvin Chow’ kerana didakwa menghina agama Islam menerusi akaun Twitter miliknya.

Pada masa sama, Abbas berkata, pihaknya memandang serius terhadap sebarang penghinaan terhadap Islam selaku agama Persekutuan seperti diperuntukan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang termasuk kaum dan fahaman politik sekiranya mereka didapati terlibat provokasi agama.

“Rukun Negara perlu dijunjung tinggi dengan keharmonian tanah air perlu dipertahankan menerusi sikap hormat-menghormati agama lain.

“Tidak mengambil kira latar belakang parti dan apa jua sokongan, kita sebagai rakyat Malaysia wajib menghormati agama lain dengan budaya menghina agama, perkauman dan pelampau perlu dibanteras,” katanya.

Sebelum ini, seorang lelaki warga emas, Foo Sing Wai didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Baginda, Saidatina Aishah dengan memuat naik karikatur berunsur penghinaan di laman akaun Facebook miliknya.

Tindakan itu telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh negara sekali gus pelbagai perhimpunan diadakan sebagai tanda bantahan terhadap perbuatan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN