KUALA LUMPUR 13 Mac – Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab mencemari sungai dengan sisa kimia agar menjadi pengajaran kepada orang lain.
Aktivis Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sesiapa yang membuang bahan terjadual bertoksik seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim, Johor boleh didakwa mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga insiden berlaku sebelum menjalankan pemeriksaan di premis perniagaan, kilang dan kediaman.
“Operasi perlu dilakukan secara kerap dan berterusan agar semua pihak mematuhi garis panduan dan undang-undang berkaitan pembuangan sampah, bahan sampingan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











