SIMPANG PULAI – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya merempun belakang sebuah lori syarikat kawalan keselamatan di Kilometer 287.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Pulai di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 7.45 pagi itu, mangsa, S. Kalaiarasu, 20, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah manakala kelindannya, Palani Deena, 18, cedera di tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua buah kenderaan jenis Isuzu dan Hino itu dalam perjalanan ke utara.
“Tiba di tempat kejadian, lori dipandu mangsa telah melanggar bahagian belakang lori yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun.
“Akibatnya, lori yang dilanggar itu terseret ke lorong kanan sebelum melanggar pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Mohd. Ali, Kalaiarasu yang tersepit di tempat duduk pemandu pula disahkan maut di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat.
“Pemandu lori syarikat kawalan keselamatan itu pula hanya mengalami luka di bibirnya,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











