KUALA LUMPUR – Pemandu atau bakal pemandu bagi perkhidmatan e-hailing yang memenuhi syarat memohon Lesen Vokasional (PSV) boleh mendaftar di Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu E-hailing Operator (EHO) yang diiktiraf oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 April ini.
JPJ dalam satu kenyataan hari ini berkata, kadar yuran siling yang telah ditetapkan oleh kerajaan adalah sebanyak RM200 bagi modul latihan PSV selama 6 jam.
“Pelaksanaan ini adalah melibatkan pemandu serta kenderaan e-hailing yang bertindak sebagai kenderaan perkhidmatan awam dan adalah setara dengan pemandu kenderaan perkhidmatan seperti teksi dan kereta sewa.
Berita berkaitan:
“Oleh yang demikian, mana-mana pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-hailing hendaklah memiliki PSV seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 56, Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, bentuk fizikal lesen vokasional yang baharu akan dikeluarkan dan dicetak kepada pemandu yang berjaya dilesenkan manakala pemandu teksi sedia ada yang telah dilesenkan dengan PSV akan dikemaskini kepada bentuk fizikal baharu semasa pemegang lesen memandu membuat pembaharuan lesen berkenaan.
“Kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing yang usianya kurang tiga tahun pula hendaklah menjalani proses tukar kegunaan daripada Kenderaan Persendirian Individu kepada Kenderaan Persendirian E-hailing.
“Perkara ini adalah selari dengan peruntukan di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 12(3) dan Seksyen12(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, permohonan boleh dikemukakan oleh pemandu e-hailing atau pembawa dokumen di mana-mana Pejabat JPJ negeri dan cawangan di seluruh negara kecuali Pusat Transformasi Bandar (UTC).
“Pemohon akan dikehendaki melampirkan beberapa dokumen sokongan seperti Borang JPJK8 (Pind.1/2016)-Borang Pindaan/Pembetulan Butir Kenderaan dan Pemilik Berdaftar Seksyen 12 APJ 1987; Borang Pengisytiharan Kenderaan Persendirian e-hailing (JPJ-EH1); maklumat Laporan Pemeriksaan Berkala PUSPAKOM (VR1) yang berkuat kuasa bagi kenderaan yang telah mencapai had usia tiga tahun dari tarikh pendaftaran serta Borang Pengesahan e-hailing (Electronic Vehicle Permit – eVP).
“Kategori kenderaan yang dibenarkan adalah jenis kereta, jip, van, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pikap bagi Sabah dan Sarawak sahaja,” katanya.
Jelasnya, kadar fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan persendirian e-hailing pula adalah masih kekal seperti kenderaan persendirian individu iaitu mengikut kuasa enjin (cc) kenderaan, termasuk Sabah serta Sarawak dan sebarang perubahan kadar fi akan dimaklumkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.
“Semua kenderaan persendirian e-hailing juga dikehendaki menampal pelekat khas kenderaan e-hailing yang akan dikeluarkan oleh pihak EHO seperti garis panduan yang telah ditetapkan oleh JPJ.
“Bagi kenderaan yang telah mencapai usia tiga tahun dan ke atas dari tarikh pendaftaran pula hendaklah menjalani Pemeriksaan Awalan Terpakai di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) terlebih dahulu sebelum melakukan penukaran kod kegunaan di JPJ,” jelas kenyataan itu.
Mengulas lanjut, JPJ menegaskan, peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan itu dibuat bertujuan untuk memberi perlindungan keselamatan pemandu dan penumpang serta pihak ketiga terhadap sebarang risiko yang tidak diingini.
“Tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada pemandu dan kenderaan yang tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bermula 12 Julai depan selaras dengan pengumuman oleh Menteri Pengangkutan,” tegasnya. – K! ONLINE











