Peluang United masih ada - Young - Utusan Malaysia

Peluang United masih ada – Young

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 4 Mac – Ashley Young mengingatkan bahawa peluang Manchester United untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara masih terbuka dan mereka bersedia untuk mempamerkan kebangkitan dalam perlawanan menentang Paris Saint-Germain (PSG) di peringkat 16 terbaik.

Anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer bertandang ke Perancis untuk aksi timbal balik kedua, Khamis ini, dengan keputusan agregat ketinggalan 0-2 selepas tumpas di Old Trafford, bulan lalu, yang merupakan satu-satunya kekalahan menimpa pengurus sementara itu sejak mengambil alih pasukan.

PSG menjadi pasukan pilihan untuk layak ke suku akhir, tetapi Young, 33, menasihatkan pencabar mereka itu agar tidak memandang mudah United selepas kebangkitan yang dipamerkan Red Devils, musim ini, sejak warga Norway tersebut tiba di Old Trafford.

“Kami tahu sejauh mana kemampuan kami. Orang lain boleh ketepikan peluang kami, malah, mereka berbuat demikian sejak musim bermula lagi dan sehingga kini, masih ada yang memandang mudah kami. Ia tiada perubahan.

“Sudah tentu, pertemuan itu sangat sukar. Ia tidak mudah. Kami perlu ke sana, mencatat kemenangan dan menjaringkan gol. Saya masih memiliki keyakinan jika kami mampu bertahan dengan baik dan kami berjaya mencipta peluang, maka, saya tahu kami mampu melakukannya, kami boleh meraih kemenangan,” kata Young.

Paul Pogba yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan pertama, bermakna dia tidak dapat diturunkan dalam timbal balik kedua, sementara rakan seperjuangannya di posisi tengah, Nemanja Matic, Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard berada dalam senarai kecederaan.

Turut ditimpa masalah serupa termasuk Phil Jones, Matteo Darmian, Antonio Valencia, Anthony Martial dan Alexis Sanchez.

Bagaimanapun, Young tetap yakin semangat juang yang membara sewaktu bangkit untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Southampton dapat diulangi pasukannya sekali lagi.

“Itu cara kelab, cara United bermain. Jangan sesekali berkata peluang tiada,” tegasnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN