MELAKA – Seorang pekerja hotel maut selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah motosikal lain di Jalan Tanjung Minyak, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa Muhammad Ameerul Rashid Amran, 25, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dalam perjalanan dari arah Tanjung Minyak menuju ke pusat bandar.
“Setiba di tempat kejadian, motosikal ditunggangi mangsa telah bertembung dengan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang terbabas dari arah bertentangan.
“Akibat rempuhan itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal Honda Wave yang merupakan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun mengalami kecederaan di kepala dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











