PBNK mahu kerjasama erat Kerajaan Pas Kelantan - Utusan Malaysia

PBNK mahu kerjasama erat Kerajaan Pas Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 10 Mac – Persatuan Boksing Negeri Kelantan (PBNK)  akan mengadakan kunjungan hormat bertemu pemimpin Kerajaan Pas Kelantan bagi membincangkan masa depan sukan berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, pertemuan itu juga bertujuan membincangkan hala tuju dan menjalinkan kerjasama dalam memajukan sukan boksing  negeri ini ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, kunjungan  itu  sekaligus membentuk keakraban antara PBNK dengan pentadbiran Kota Darulnaim, dan amat penting dalam konteks memupuk persefahaman dan mempertingkatkan lagi hubungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehingga kini PBNK bergerak menggunakan dana sendiri dan amat memerlukan bantuan  dari kerajaan dalam melahirkan lebih ramai pelapis baru dalam arena berkenaan. 

“PBNK telah melahirkan banyak peninju-peninju berbakat untuk mewakili negeri ini ke Sukan Malaysia (Sukma) namun kami tidak mampu untuk membiayai kos mereka dalam pelbagai aspek dan peninju tersebut terpaksa mewakili negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung PBNK di Hotel Sutera Inn dekat sini semalam.
  
Majlis perasmian menyuarat itu disempurnakan oleh Ahli Kehormat PBNK, Mejar Jeneral  Datuk Khlir Mohd Noor.

Dalam mesyuarat itu juga semua ahli sebulat suara mengekalkan dua pemimpin utama PBBK iaitu Mohd Fared sebagai Presiden dan Timbalan PBNK, Rizal Man Yunus.

Namun bagi kerusi  Naib Presiden telah diisi tiga muka baru iaitu Nik Mahmud Nik Jaffar, Mohd Aseri Abdullah dan Mohd Ali Akbar Yusoff. 

Dalam pada itu Mohd. Fared berkata,  pihaknya perlu segera membincangkan masalah yang dihadapi oleh  PBNK  kepada  kerajaan negeri.

Tambahnya, sepanjang tahun 2018, PBNK begitu aktif  apabila berjaya menganjurkan lebih 40 kejohanan  boksing tempatan dan antarabangsa di 11 daerah negeri ini.

“Dalam penganjuran sukan ini persatuan telah dikenakan cukai  dan berharap pihak kerajaan negeri mempertimbangkan untuk mengurangkan cukai tersebut.

“PBNK amat perlukan dana bagi  menghidupkan aktiviti boksing dan kami akan mengadakan kunjungan hormat secepat mungkin keatas Menteri Besar Kelantan,” ujarnya.

Dalam pada itu, turut berlangsung majlis menandantangi memorandum  persefahaman (MoU) antara PBNK dengan Persukutuan Muay Thai Profesional Malaysia bertujuan  memajukan sukan itu ke peringkat lebih tinggi lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini