LAGOS 14 Mac – Pihak berkuasa Nigeria sedang berusaha mendapatkan buku pendaftaran untuk mengenal pasti jumlah mangsa yang terkorban dalam runtuhan bangunan sekolah di Lagoas, semalam.
Agensi berita Reuters melaporkan, pihak berkuasa setakat ini masih belum mengeluarkan jumlah mangsa terkorban.
Penduduk setempat memberitahu, kira-kira 100 kanak-kanak telah datang ke pusat jagaan dan sekolah rendah.
Pengurus Besar Agensi Pengurusan Kecemasan Lagoas, Adesina Tiamiyu berkata, seorang mangsa maut manakala hampir 50 lagi berjaya diselamatkan.
“Bagaimanapun ramai yang mati selepas dibawa ke hospital. Mayat pertama dijumpai pada pukul 3 pagi (waktu tempatan).
“Kami sedang membersihkan kawasan runtuhan untuk melihat sama ada terdapat mangsa yang masih tertimbus,” ujarnya di sini hari ini.
Menurut Tiamiyu, jumlah mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut masih menjadi tanda tanya dan pihak berkuasa sedang mencari buku pendaftaran murid.
“Saya mahu menafikan terdapat lebih daripada 100 kanak-kanak,” katanya.











