KUALA LUMPUR 10 Mac – Kementerian Pendidikan digesa menunggu pengesahan Jabatan Alam Sekitar sebelum membenarkan dua buah sekolah yang terlibat dengan pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini beroperasi semula.
Pengerusi Sekretariat Pendidikan dan Pengajian Tinggi Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraslina Zainal Abidin berkata, tindakan hanya memberikan cuti hingga hari ini, 10 Mac pada hakikatnya membahayakan semua warga di dua buah sekolah berkenaan.
Katanya, penutupan sekolah sepatutnya diteruskan sehingga ada pengesahan keselamatan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Alam Sekitar kerana mereka adalah orang bertanggungjawab dalam menentukan keadaan pencemaran di kawasan kejadian.
Tambahnya, pengesahan kawasan sekolah sebagai selamat amat penting kerana ia melibatkan isu kesihatan dan keselamatan semua orang yang berada di dalam serta berhampiran sekolah itu.
“Pihak Kementerian perlu membuat kajian dengan turun padang untuk memahami bencana yang berlaku kerana jelas melalui status yang dimuat naik oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam laman Facebook miliknya menggambarkan beliau masih tidak faham apa yang sebenarnya berlaku.
“Bencana ini bukan kerana kebocoran gas seperti dinyatakan oleh beliau dalam Facebook, tetapi kesan yang berlaku adalah akibat pembuangan haram sisa kimia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Noraslina, arahan supaya guru-guru hadir ke sekolah untuk tujuan gotong-royong membersihkan sekolah juga adalah sesuatu yang amat mengejutkan dan mendukacitakan kerana tidak ada langkah keselamatan yang diambil sebelum usaha itu dilaksanakan.
“Lebih penting lagi, tiada sebarang kenyataan dari pihak Jabatan Alam Sekitar dan pihak berwajib yang lain bahawa keadaan di sekolah itu benar-benar selamat dan boleh dilakukan sebarang aktiviti termasuk kerja-kerja pembersihan.
“Jabatan perlu melaporkan sama ada keadaan di kedua-dua sekolah berkenaan benar-benar selamat untuk sebarang aktiviti dilaksanakan sebelum pihak Kementerian Pendidikan mengeluarkan sesuatu arahan,” katanya.
Kata beliau lagi, pihak Kementerian juga perlu melihat kepada Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan lain-lain akta serta undang-undang termasuk peraturan yang berkaitan sebelum sesuatu arahan dilaksanakan.
“Hakikatnya tiada kompromi di pihak kami apatah lagi melibatkan keselamatan dan nyawa. Oleh yang demikian pihak berwajib wajar memandang serius perkara ini dan mengambil tindakan segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE










