KUALA TERENGGANU 15 Mac – Pas hari ini mengutuk insiden tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan lebih 40 umat Islam dan mencederakan lebih 20 yang lain.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan perbuatan itu sebagai melampaui batas kemanusiaan dan tidak boleh diterima masyarakat dunia.
Beliau berkata, pembunuhan zalim itu merupakan penganiayaan kepada umat Islam kesan daripada Islamofobia yang ditaja oleh barat.
Justeru, beliau menggesa masyarakat dunia agar tidak menuding jari kepada orang Islam kerana wujud kalangan bukan Islam di sana yang melakukan perbuatan melampau itu yang sama sekali dilarang oleh agama.
“Pas mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan diharapkan mereka dirahmati Allah serta diterima sebagai syuhada kerana dibunuh secara zalim.
“Semestinya seluruh dunia kesal bukan sahaja orang Islam tetapi juga bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ijtimak Guru Pas Terengganu 2019 di Markaz Tarbiyah Pas Kuala Terengganu di sini petang ini. – UTUSAN ONLINE











