KOTA BHARU – Kegiatan dua lelaki menawarkan pakej menjual 200 biji pil kuda dengan percuma satu gram dadah jenis syabu terbongkar selepas mereka ditahan di Jalan Taman Manal Jaya, Tanah Merah, dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam, kedua-dua suspek berusia 34 tahun yang merupakan seorang peniaga dan pengawal keselamatan itu dalam usaha memperkembangkan rangkaian pengedaran dadah mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Roslan Yusof Mohamad berkata, bertindak atas maklumat sepasukan Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah menahan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki dua suspek.
Beliau berkata, salah seorang suspek membawa bungkusan plastik berwarna ungu dan pemeriksaan di dalamnya menjumpai dua bungkusan berpita pelekat berwarna kuning berisi lapan paket plastik biru serta dua paket berwarna merah jambu bertulis “A”.
“Setiap paket mengandungi 198 pil kemerahan dan dua pil kehijauan bercetak WY dipercayai pil kuda dengan keseluruhannya berjumlah 12,000 biji dengan anggaran berat 1.2 kilogram (kg)
“Turut ditemui 60 paket cerah berisi serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu seberat 60 gram dengan keseluruhan nilai rampasan dadah bernilai RM189,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini hari ini.
Beliau berkata, sepeket plastik biru atau merah jambu yang berisi 200 pil kuda yang dijual itu dikepilkan bersama 1 gram syabu yang diberikan secara percuma kepada pengedar-pengedar kecil sekitar negeri ini.
“Itu pakej serta modus operandi yang dilakukan oleh dua suspek ini bagi memperkembangkan perniagaan jualan dadahnya secara kecil-kecilan itu.
“Setiap biji pil kuda bernilai RM15 dan suspek mengadakan promosi iaitu beli sepeket pil kuda berharga RM3,000 atau 200 biji akan memperoleh 1g syabu yang bernilai antara RM150 hingga RM200,” katanya.
Tambahnya, mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula Isnin hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











