MILAN 18 Mac – Penjaga gol Napoli, David Ospina diletakkan di bawah pengawasan 24 jam di hospital selepas mengalami perlanggaran ketika membantu pasukanya melakar kemenangan 4-2 ke atas Udinese, kata kelabnya.
Pemain kebangsaan Colombia itu menerima rawatan selepas bertembung dengan penyerang, Ignacio Pussetto.
Ospina, 30, dipinjamkan dari Arsenal menerima rawatan di luar padang sebelum kembali beraksi dengan balutan di kepalanya.
Bagaimanapun, 41 minit kemudian, Ospina rebah di atas padang sebelum pasukan perubatan bergegas masuk untuk memberi rawatan dan dia diusung keluar dan dikejarkan ke hospital berdekatan dengan ambulans.
“Nasib baik tiada perkara yang serius berlaku, dia masih sedarkan diri, mereka melakukan imbasan CAT dan mendapati keputusannya adalah negatif dan dia kini berada di bawah pengawasan,” kata jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti.
Napoli kemudiannya mengeluarkan kenyataan berkata Ospina mengalami krisis ‘hypotension’ akibat daripada kecederaan tersebut yang menyebabkan tekanan darahnya turun sehingga mengakibatkan pening dan pengsan.
“Ospina akan dipindahkan ke Klinik Pineta Grande dalam tempoh beberapa jam di mana dia akan dipantau untuk 24 jam yang seterusnya,” kata kenyataan tersebut.
Ospina menyertai kelab Itali itu pada Ogos lalu dengan secara pinjaman setahun dengan pilihan untuk dibeli. – AFP











