Orang ramai mula serbu LIMA '19 - Utusan Malaysia

Orang ramai mula serbu LIMA ’19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 29 Mac – Ribuan pengunjung mula menyerbu Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini bagi menyaksikan secara lebih dekat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA ’19).

Jumaat merupakan hari pertama pameran antara yang terulung dunia itu dibuka kepada orang awam, sekali gus tidak mahu melepaskan peluang untuk merasai kehebatan persembahan pertunjukan udara selain teknologi persenjataan terkini.

Rata-rata pengunjung mula berbaris seawal pukul 8 pagi biarpun pusat pameran yang terletak di Padang Matsirat itu hanya dibuka sejam kemudian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada sebelah pagi, orang ramai disajikan dengan persembahan-persembahan udara membabitkan pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tentera-tentera negara luar.

Antara yang mempamerkan kehebatan masing-masing termasuklah gabungan pesawat Sukhoi dan Hornet serta aksi daripada juruterbang Tejas (India), Russian Knights (Rusia) dan Jupiter (Indonesia).

Persembahan udara sehingga pukul 12 tengah hari akan bersambung semula pada sesi petang, manakala pameran statik dan ruang pameran di dalam MIEC dibuka sehingga pukul 6 petang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini