ISKANDAR PUTERI 4 Mac – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing dalam serbuan Ops Noda yang diadakan dekat sebuah premis hiburan awam di Jalan Nb 2 1/4,
Taman Nusa Bestari 2 di sini, tengah malam tadi.
Dalam serbuan pukul 12.15 tengah malam itu, mereka ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri yang membuat serbuan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mereka
yang ditahan adalah seorang lelaki yang berperanan sebagai juruwang berusia 24 tahun.
“Turut ditahan tiga wanita, dua adalah warganegara Vietnam dan seorang warga Indonesia yang semuanya berusia antara 26 hingga 40 tahun.
“Dalam serbuan itu, kita turut memeriksa dua wanita tempatan sebagai pekerja di premis berkenaan dan pelangaan-pelanggan iaitu tujuh lelaki dan tiga wanita,” katanya.
Dzulkhairi berkata, polis turut merampas monitor, pemain DVD, mikrofon, cakera padat (CD) pelbagai lagu dan resit perniagaan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN ONLINE










