Operasi SAR peserta hilang akan diteruskan sehingga dijumpai - Utusan Malaysia

Operasi SAR peserta hilang akan diteruskan sehingga dijumpai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi jaminan akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak Sabtu lalu sehingga dia dijumpai.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta persatuan pendaki dan penduduk setempat itu diyakini dapat mencari petunjuk baru untuk mencari mangsa. 

“Operasi SAR kini memasuki hari keempat pencarian dan kita meluaskan lagi radius daripada lapan kilometer (km) kepada jarak 12 km dalam usaha mengesan dan menyelamatkan mangsa. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Fokus pencarian ditumpukan kepada kawasan puncak Bukit Batu Putih ke arah check point ke-10 yang juga checkpoint terakhir merangkumi kawasan cerun bukit dan perumahan penduduk kampung yang melalui jalan bertar,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat operasi di sini hari ini. 

Tambah Azmi, Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM Kuala Lumpur sekali lagi akan digerakkan untuk mengesan mangsa dalam kawasan radius tersebut. 

“Petunjuk sebelum ini termasuk penemuan botol dipercayai milik mangsa tidak menunjukkan hasil positif dan kita akan mencari bukti serta petunjuk baru yang boleh membawa kepada mangsa.

“Kita yakin mangsa masih ada di sekitar lokasi pencarian dan operasi SAR tetap akan diteruskan sehingga kita menjumpainya,” katanya. 

Katanya, operasi tidak akan terhenti sebelum mangsa dijumpai melainkan ada arahan seterusnya atau faktor-faktor lain yang boleh menghentikan operasi. 

Dalam kejadian Sabtu lalu, Mohammad Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25km disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan itu. 

Operasi mencari kemudiannya digerakkan pada keesokan harinya bermula di check point ke-6 iaitu lokasi terakhir mangsa dilihat iaitu kira-kira 12 km dari garis mula. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini