IPOH 5 Mac – Selepas menerima desakan, kerajaan negeri akhirnya mencapai persetujuan dengan pengendali Terminal Amanjaya iaitu Perak Transit Berhad untuk melanjutkan operasi jualan tiket di kaunter sehingga 31 Mac ini.
Dengan pengangguhan itu, arahan untuk menghentikan operasi jualan tiket di kaunter terminal tersebut pada 8 Mac ini adalah terbatal.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Paul Yong Choo Kiong berkata, langkah itu bertujuan memberi ruang kepada proses perbincangan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa berkaitan.
“Kerajaan negeri mengambil maklum keluhan dan keresahan syarikat pengendali perkhidmatan bas ekspres dan 200 ejen yang beroperasi di Terminal Amanjaya di Bandar Meru Raya, susulan cadangan pengenalan Sistem Tiket Berpusat (CTS).
“Sehubungan itu, perbincangan lanjut melibatkan semua pihak berkepentingan dan agensi-agensi kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Choo Kiong berkata, kerajaan negeri akan mengambil kira faktor kebajikan ejen kaunter tiket serta harapan masyarakat umum yang mahukan penambahbaikan terhadap mutu perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini.
Namun begitu katanya, isu pengenalan sistem CTS turut dilaporkan berlaku di lain-lain terminal bas di seluruh negara.
“Oleh itu, kerajaan negeri komited untuk mencari kaedah penyelesaian yang selari dengan perancangan semua agensi terlibat di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











