KUALA LUMPUR 31 Mac – Anak sulung Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Nurul Izzah Anwar menzahirkan rasa terkejut dengan tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap aktivis muda Sabah, Jufazli Shi Ahmad, baru-baru ini.
Menurut Jufazli, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menasihatkannya supaya lebih berhati-hati selepas dimaklumkan mengenai kejadian tangkapan polis pada 16 Mac lalu.
“Saya mengadu pada Nurul Izzah tadi dan beliau terkejut selepas menonton video saya yang tular itu selain meminta supaya saya lebih berhati-hati selepas ini.
“Nurul Izzah turut menyatakan beliau akan memastikan kumpulan peguam saya boleh mewakili saya untuk kes-kes lain,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Jelas Jufazli, beliau hadir ke majlis pelancaran buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda daripada Zairudin Hashim hari ini atas jemputan daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya menerima jemputan daripada Datuk Seri Anwar menerusi mesej peribadi di akaun Twitter, jadi saya pun hadir hari ini bersama kakak saya,” katanya.
Pada 16 Mac lalu, Jufazli yang juga bekas ahli DAP menerusi siaran langsung di akaun Facebook miliknya menunjukan sekurang-kurangnya empat anggota polis di rumahnya di Cheras cuba menahannya.
Dalam video tersebut, kenyataan terbuka Jufazli telah menuduh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan pelbagai jenayah termasuk perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. – UTUSAN ONLINE










