KUALA LUMPUR 27 Mac – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sepatutnya bercakap dari hati ke hati dengan Tun Dr. Mahathir umpama `seorang cucu dengan datuknya’ sekiranya wujud rasa tidak puas hati terhadap sebarang isu dalaman membabitkan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, malah penggunaan gelaran `bekas diktator’ yang dilemparkan oleh anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu terhadap Perdana Menteri juga dilihat `agak melampau’.
Ini kerana, kata beliau, Dr. Mahathir pernah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2002, sebelum diminta sendiri oleh PH diketuai PKR untuk menggalas kembali jawatan nombor satu seandainya PH berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
“Tanpa kehadiran Tun M, mustahil PH boleh mengejutkan dunia pada 9 Mei tahun lalu menumbangkan BN yang berkuasa selama enam dekad.
“Ini diakui oleh sesiapa sahaja dari kalangan rakyat jelata dan pihak luar termasuklah DAP, PKR dan Parti Amanah Negara sendiri. Adakah PH menang kerana DAP dan PKR atau Anwar? Berpuluh-puluh tahun mereka mencuba, tetapi kemunculan semula Tun M merubah segalanya.
“Lupakah Nurul Izzah dengan sumbangan besar Tun M ini?,” kata Mohd. Redzuan kepada Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Redzuan berkata, Nurul Izzah juga sebenarnya boleh menyalurkan segala isi hatinya terutama sukar bekerja dengan Pengerusi PH itu menerusi ibunya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
“Bukan sahaja tidak dilakukan, malah lebih menyedihkan lagi bercakap dengan media asing (The Straits Times), akhbar dari negara tetangga kita.
“Kita bimbang dengan Malaysia dan Singapura mempunyai beberapa isu tertunggak yang agak sensitif, ada pula pihak tertentu cuba `menangguk di air keruh’ sengaja memanipulasi isu temu bual Nurul Izzah ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE











