KUALA LUMPUR 27 Mac – Urus niaga kewangan melalui saluran mudah alih terus mencapai kemajuan pada 2018 dari segi nilai dan transaksi, dengan mengambil manfaat daripada kadar penembusan telefon mudah alih yang tinggi dalam kalangan penduduk Malaysia.
Pada 2018, urus niaga kewangan yang dijalankan melalui saluran perbankan mudah alih meningkat lebih sekali ganda kepada 257.4 juta dengan nilai RM100.1 bilion (2017: 107.7 juta, RM50.7 bilion).
Ini disokong oleh bilangan pelanggan perkhidmatan perbankan mudah alih yang terus bertambah kepada 6.6 juta pelanggan pada 2018 berbanding 4.4 juta pada tahun sebelum itu, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2018 yang dikeluarkan di sini hari ini.
Institusi bukan bank juga mencapai kemajuan dalam segmen ini.
Daripada 47 pengeluar wang elektronik bukan bank di Malaysia, tiga daripada empat pengeluar menawarkan penyelesaian pembayaran mudah alih.
Bilangan langganan perkhidmatan pembayaran mudah alih institusi bukan bank meningkat dengan ketara daripada 0.8 juta pada 2017 kepada 10.4 juta pada 2018.
Institusi bukan bank telah memproses sejumlah 31.1 juta urus niaga pembayaran mudah alih pada 2018 dengan nilai RM1.3 bilion (2017: 1.0 juta, RM240.3 juta).
“Walaupun masih berada pada peringkat awal, pembayaran mudah alih kini semakin kerap digunakan untuk menggantikan wang tunai dalam urus niaga pembelian harian,” katanya.
Yang nyata, jumlah pembayaran mudah alih untuk urus niaga pembelian meningkat 20 kali kepada 23.7 juta berbanding 1.2 juta pada 2017, dengan nilai urus niaga purata sebanyak RM23.80.
Institusi bukan bank memainkan peranan yang penting dalam memacu trend ini dengan mencakupi 88.4 peratus daripada jumlah urus niaga tersebut.
Pada akhir 2018, lebih 65,000 peniaga telah mendaftar untuk menerima pembayaran mudah alih, dengan lebih 50 peratus daripadanya dikendalikan oleh pengeluar wang elektronik bukan bank.
Walaupun sehingga kini 18 bank menawarkan perkhidmatan perbankan mudah alih yang mencakupi 89.2 peratus daripada jumlah akaun semasa dan akaun simpanan, hanya dua bank memperkenalkan perkhidmatan pembayaran kod Respons Pantas (QR) setakat ini.
Pada peringkat ini, tumpuan bank kebanyakannya kepada usaha untuk menyempurnakan usaha pembangunan bagi memperkenalkan penyelesaian pembayaran kod QR saling boleh kendali di bawah skim QR saling boleh kendali PayNet yang akan dilaksanakan pada 2019, katanya.
“Pada masa depan, landskap pembayaran mudah alih dijangka lebih aktif berikutan persaingan yang semakin sengit antara bank dengan institusi bukan bank,” menurut BNM. – BERNAMA











