KANGAR 2 Mac – Sindiket pemerdagangan manusia yang berselindung di sebalik nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa merupakan dalang membawa masuk pelarian Rohingya ke negara ini.
Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Cawangan Kedah/Perlis, Yusof Ali susulan kejadian 34 pelarian Rohingya yang mendarat di pesisir pantai berdekatan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, di sini semalam.

Malah, katanya, sindiket dipercayai didalangi warga Myanmar atau Bangladesh itu turut dibantu orang Rohingya yang menetap di negara ini.
Yusof mendakwa, sindiket itu kononnya mahu membela nasib Rohingya dengan menjanjikan peluang pekerjaan khususnya dalam sektor perkilangan dan perladangan di Malaysia.
“NGO ini bertindak seperti ejen dengan menjanjikan peluang pekerjaan kepada Rohingya. Kemudian mereka akan menjual orang-orang Rohingya ini kepada kilang-kilang yang mengambil golongan ini bekerja,” katanya ketika ditemui hari ini.
Yusof mendakwa, orang Rohingya juga dipaksa membeli kad pintar berharga antara RM500 hingga RM800 oleh individu yang mengaku daripada NGO terbabit.
Orang Rohingya diberitahu kad itu hampir menyerupai yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan boleh membantu pelarian apabila diusir keluar dari Malaysia.
Ujarnya, kegiatan itu berlaku sejak tahun lalu, apabila kira-kira 190,000 etnik Rohingya di seluruh negara diajak berkumpul di Kuala Lumpur dan Kelantan untuk membeli kad itu.
“Mereka kata kad ini boleh bantu apabila ingin membuka akaun bank, ambil lesen memandu, buka kedai dan pelbagai lagi fungsi lain. Bangsa Rohingya ini terperdaya dan mereka ambillah,” katanya.
Dalam pada itu, Yusof memberitahu kira-kira dua minggu lalu dia telah dihubungi salah seorang pelarian yang mendarat di Perlis semalam, iaitu sebelum mereka memulakan pelayaran ke Malaysia.
“Mereka dipercayai akan dihantar untuk bekerja di Pulau Pinang dengan didalangi oleh ejen. Pelayaran itu melibatkan 300 orang yang disumbat ke dalam beberapa bot, namun tidak diketahui di mana mereka akan mendarat.
“Sepanjang tempoh dua minggu itu saya tidak lagi menerima apa-apa panggilan daripada mereka. Saya percaya ada lagi beberapa buah bot pelarian Rohingya sedang menuju masuk ke perairan Malaysia,” katanya.










