NGO buat laporan polis berhubung himpunan LGBT - Utusan Malaysia

NGO buat laporan polis berhubung himpunan LGBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kira-kira 20 individu daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membuat laporan berhubung perhimpunan haram menuntut hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)  yang diadakan di Dataran Merdeka semalam.

Perhimpunan tersebut yang dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Wanita mencetuskan kontroversi apabila turut melaungkan slogan menuntut hak golongan LGBT yang disifatkan sebagai bertentangan dengan prinsip rukun negara.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) Masridzi Sat berkata, perkara tersebut (laungan tuntut hak LGBT) yang kini tular di laman media sosial adalah amat dikesali dan mengguris hati setiap umat Islam dalam negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tujuan kami hadir di sini hari ini adalah untuk memohon pihak berkuasa bertindak segera bagi menyiasat gerakan kumpulan ini yang dilihat mampu menggugat keharmonian dalam negara.

“Perhimpunan ini bertentangan dengan Perkara 3 (1) yang menyatakan agama Islam sebagai agama persekutuan jadi sekiranya perkara sebegini (LGBT) ada dalam negara ini, maka kita bukan negara Islam,” tegas beliau.

Turut hadir, perwakilan daripada beberapa NGO seperti Gerakan Sri Kandi Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung serta Persatuan Melayu Bugis Malaysia.

Terdahulu, satu perhimpunan bersempena sambutan hari wanita di Dataran Merdeka mencetuskan kontroversi laungan slogan hidup LGBT selain membawa bendera warna pelangi selaku simbol golongan terbabit. 

Perhimpunan tersebut yang kemudiannya disahkan tidak mendapat permit daripada pihak polis akan disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. 

Menurut Masridzi, setakat hari ini sebanyak sembilan laporan polis telah dibuat di ibu kota dan memohon lebih ramai individu atau persatuan tampil membuat laporan berhubung perhimpunan tersebut.

“Laporan polis pertama dilakukan sekitar pukul 11 pagi tadi dan akan diteruskan secara berperingkat sehinggalah tindakan diambil oleh pihak berkuasa. 

“Laporan demi laporan akan dilakukan sehinggalah golongan bertanggungjawab dalam perkara ini dikenakan tindakan yang tegas,” ujarnya. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×