LONDON 5 Mac – Neymar yang gemar berparti di Brazil, tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan berakhir selepas penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu dilihat bermesra dengan penyanyi pop sensasi, Anitta di Karnival Rio de Janeiro.
Bintang PSG dan Brazil itu hanya menunjukkan impak kecil terhadap kecederaan metatarsal yang dialaminya apabila dia menari perlahan mengikut rentak samba.
Neymar dilihat mencium dan memeluk Anitta, tetapi dalam masa sama dia juga ada kelihatan berbual mesra dengan seorang wanita misteri berambut perang di Sambadrome. Neymar dan Anitta pernah dikaitkan mempunyai hubungan romantik dalam satu ruangan gossip, sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Sepanjang karnival itu berlangsung, minggu ini, Neymar kelihatan berparti selama dua malam dan penyerang itu nampaknya tidak tergesa-gesa untuk pulang ke Paris, di mana rakan sepasukannya akan beraksi menentang Manchester United dalam aksi Liga Juara-Juara, pada Rabu malam (awal pagi Khamis waktu Malaysia).
Neymar sebelum ini dilihat berparti di Salvador, Bahia, dan sekarang dia mengalih tumpuannya ke Rio pula.
Pemain itu turut meluang masanya dengan juara dunia sukan luncur air, Gabriel Medina dan kelihatannya semua orang cukup berminat meluang masa dengan bintang bola sepak tersebut.
Neymar mengalami kecederaan patah metatarsal sewaktu beraksi dalam perlawanan Piala Perancis menentang Strasbourg pada penghujung Januari dan dia pulang ke tanah air untuk menjalani proses pemulihan. Dia dijangka terpaksa diketepikan selama 10 minggu. – AGENSI











