Nenek cedera disondol babi hutan - Utusan Malaysia

Nenek cedera disondol babi hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN – Seorang nenek berusia 70 tahun di sini menghadapi detik cemas selama kira-kira tiga minit apabila diserang babi hutan semasa kejadian petang semalam.

Kejadian pukul 6.30 petang itu menyebabkan Roseminah Safar, 70, mengalami luka berlubang di tangan kaki akibat disondol serta digigit haiwan liar berkenaan.

Akibat kecederaan itu, Roseminah menjalani pembedahan selama tujuh jam di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh bagi prosedur menyambung pembuluh darah yang terputus.

Menceritakan detik cemas itu, Roseminah berkata, dia terdengar sekawan anjing liar menyalak di belakang rumahnya di Felda Jengka Satu di sini sebelum kejadian.

“Apabila saya pergi lihat punca anjing menyalak, saya ternampak sepasang babi hutan dengan enam ekor anak sedang menyondol tanah di belakang rumah.

“Bimbang keselamatan tiga cucu yang suka bermain di kawasan rumah, saya sergah untuk cuba halau babi hutan itu.

“Selepas disergah, babi jantan itu berlari dan terkam saya. Semasa hendak lari selamatkan diri, saya terjatuh dan disondol,” katanya kepada pemberita.

Warga emas itu menambah, dia bernasib baik apabila suaminya, Abdul Rahman Dolaji, 80, bergegas lari ke belakang rumah dan menghalau haiwan berkenaan menggunakan kayu.

Sementara itu, anaknya, Norkintan Abdul Rahman, 40, berharap pihak Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil tindakan segera untuk menangkap haiwan liar tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN