LANGKAWI – Seorang nelayan warga Thailand yang merupakan mangsa bot karam di perairan Satun, Thailand pada Jumaat lalu ditemui terdampar di Pulau Pasir di sini semalam.
Mangsa dikenali sebagai Yahaya Piah, 41, ditemui seorang nelayan tempatan yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan tersebut kira-kira pukul 1.30 petang.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama (M) Rozali Mohd. Said berkata, mangsa adalah salah seorang kru bot nelayan Thailand yang tenggelam di perairan Satun kira-kira pukul 10 malam, 1 Mac lalu.
“Mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Ayer Hangat, Langkawi sebelum dipindahkan ke Hospital Langkawi untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana keadaan mangsa yang lemah selain mangsa mengadu terasa pedih dalam badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata beliau, Pusat Operasi Maritim Langkawi telah menerima maklumat daripada Pejabat Koordinasi Sempadan Malaysia-Thailand (MTBCO) mengenai sebuah bot nelayan Thailand dengan sembilan kru telah tenggelam di perairan Satun dan dipercayai hanyut sehingga memasuki perairan Malaysia.
“Pusat Keselamatan Maritim (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat yang bertumpu di sempadan Malaysia-Thailand dengan keluasan melebihi 30 batu nautika persegi.
“Operasi melibatkan aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, dalam kejadian tersebut seramai lapan orang mangsa telah dijumpai oleh pihak berkuasa Thailand iaitu tujuh yang masih hidup dan seorang telah meninggal dunia. – K! ONLINE











