Nazri sokong Anwar, mahu perjuangkan kepentingan Melayu - Utusan Malaysia

Nazri sokong Anwar, mahu perjuangkan kepentingan Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Mac – Selepas sah bukan lagi Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyatakan sokongannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Sambil menegaskan tetap mahu menjuarai agenda Melayu, Mohamed Nazri berkata, sokongnya terhadap Anwar bukan sesuatu yang baharu, malah ketika pemimpin PKR itu masih bersama UMNO pada awal tahun 1990-an.

Katanya, apa yang membezakan ialah beliau kekal bersama dengan UMNO manakala Anwar dipecat daripada parti itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya percaya dengan Anwar. Saya 100 peratus menyokong Anwar. Tiada yang berubah,” katanya yang dipetik daripada laporan portal Free Malaysia Today hari ini.

Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998 sewaktu parti itu diketuai oleh Perdana Menteri ketika ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kedua-dua mereka kemudian berada dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018.

Kata Mohamed Nazri lagi, beliau akan melobi Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, tetapi menegaskan bukan bertujuan menjatuhkan Dr. Mahathir.

“Di antara mereka (Anwar dan Dr. Mahathir), sudah ada persetujuan untuk memberikan jawatan itu kepada Anwar. Saya menyokong perjanjian mereka,” katanya.

Beliau bagaimanapun melahirkan komitmen untuk memastikan UMNO menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya mahu meneruskan agenda Melayu dalam UMNO dan Pas. Mereka (orang Melayu) akan menyokong agenda ini,” katanya.

Tambah beliau, hak keistimewaan orang Melayu tidak harus dipersoalkan dan pada masa sama kepentingan itu tidak harus dilihat sebagai semangat yang keterlaluan.

Beliau yakin kerjasama UMNO dan Pas akan menyebabkan kerajaan melaksanakan dasar-dasar yang menjaga kepentingan orang Melayu dan melindungi hak minoriti.

Jawatan Setiausaha Agung BN yang dipegangnya sejak Oktober tahun lalu tidak diperakukan sah mengikut kepada Perlembagaan parti tersebut dan berikutan itu Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal menyandang jawatan berkenaan sejak tahun 2009.

Mohamed Nazri berkata, beliau kini boleh memberi tumpuan untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan menyokong Anwar, kerana tanpa apa-apa jawatan dirinya lebih mudah memberikan pandangan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini